Wednesday, 17 August 2016

KONSEP JIRAN


DEFINISI

Dari segi bahasa atau etimologi, jiran berasal daripada bahasa Arab yang membawa pengertian orang yang tinggal bersebelahan atau tetangga.

Dari segi istilah jiran adalah orang-orang yang tinggal bersebelahan dengan rumah, bersebelahan kampung, daerah malahan lebih besar daripada itu iaitu jiran yang bersebelahan dengan negara. Jiran juga bererti ahli-ahli 40 buah rumah setiap penjuru yang mengelilingi rumah individu. Hal ini sebagaimana hadith riwayat Abu Daud, telah bersabda Rasulullah s.a.w iaitu :

 Maksudnya : “Empat puluh buah rumah tetap sebagai jiran tetangga”


Berdasarkan kepada hadith Rasulullah s.a.w menunjukkan bahawa walaupun jarak daripada rumah seseorang diselangi 40 buah rumah, ia juga dikira sebagai jiran tetangga. Menurut Ali Ibn Talhah daripada Ibnu Abbas, jiran membawa pengertian hubungan kekeluargaan atau pertalian darah. Jiran juga boleh dikatakan sebagai apabila penempatan itu dihuni oleh manusia yang lain yang juga tinggal berhampiran dengan rumah yang dihuni oleh kita. 

 PEMBAHAGIAN JIRAN 



Islam membahagikan jiran kepada beberapa bahagian iaitu jiran beragama Islam yang mempunyai pertalian darah, jiran beragama Islam yang tidak mempunyai pertalian darah dan jiran bukan Islam. Dalam erti kata lain jiran jauh dan dekat. Hal ini sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah an-Nisaa’ ayat 36 iaitu :

 Maksud-Nya : Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatupun. dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa, karib-kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh[3] dan teman sejawat, ibnu sabil[4] dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri. 

 HAK JIRAN YANG PERLU DIPELIHARA 

 Hak jiran perlu bagi setiap individu untuk pelihara kerana hal ini adalah selari dengan tuntutan agama. Tidak menyakiti jiran dan seringkali memelihara keamanan dengan jiran. Hal ini sebagaimana dalam sabda Rasulullah s.a.w iaitu :

Maksudnya : “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah dia menyakiti jirannya.”

 Menghormati jiran dan pengamalan mereka selagimana tidak membawa mudharat. Sekalipun jiran tersebut bukanlah beragama Islam maka menghormati dan tidak menganggu kehidupan dan pengamalan mereka misalnya ibadah mereka dalam agama mereka seperti yang dilakukan oleh orang-orang Cina dengan meletakkan tokong di luar rumah maka hendaklah dihormati selagimana tidak membawa bahaya dan mudharat.

 Umat Islam yang bertimbang rasa dan menyedari serta memahami hukum-hukum agama, adalah merupakan manusia yang paling baik hubungannya terhadap jiran-jirannya. Mereka akan sentiasa mencurahkan segala bakti demi kebaikan jiran mereka yang merupakan manusia yang paling mereka kasihi. Islam banyak menyeru umatnya agar sentiasa menjaga dan memelihara hubungan dengan jiran. Menyedari betapa tingginya kedudukan jiran di dalam Islam dan peranannya dalam kehidupan kemanusiaan.


Antara hak jiran yang lain yang perlu dipelihara adalah sentiasa memberi layanan baik dan kasih sayang serta akhlak yang baik dalam muamalah dengan mereka. Islam mementingkan hubungan mesra dan layanan baik kepada jiran dan ini terlihat daripada banyak panduan daripada hadith baginda antaranya ialah daripada riwayat Abu Dzar yang menyebut telah bersabda Rasulullah s.a.w iaitu

 Maksudnya : Wahai Abu Dzar sekiranya engkau memasak maraq (sejenis makanan berkuah seperti sup) maka banyakkanlah kuahnya dan berikan kepada jiran engkau

 Berdasarkan dalil-dalil daripada al-Qur’an dan hadith, jelas menunjukkan bahawa Islam seringkali menganjurkan dan menyeru umatnya supaya sentiasa menjaga hubungan dengan jiran tetangga dan memelihara hak-hak jiran disamping menghormati jiran-jiran bukan Islam selagimana tidak merosakkan akidah dan akhlak.


HAK & KEWAJIPAN SETIAP MUSLIM TERHADAP JIRAN:



 Jenis Jiran
 Hak Jiran
 1. Jiran Muslim yang mempunyai hubungan persaudaraan
 1.Hak sebagai seorang muslim.
2. Hak sebagai kerabat.
3.Hak sebagai seorang jiran
 2. Jiran Muslim yang tidak mempunyai hubungan persaudaraan.
 1. Hak sebagai seorang muslim.
2. Hak sebagai seorang jiran.
 3. Jiran Bukan Islam
 1. Hak sebagai seorang jiran.


 ADAB BERJIRAN

1. Sentiasa mewujudkan suasana kemesraan melalui usaha kenal-mengenal dan hormat menghormati antara satu sama lain. Antara caranya dengan memulakan salam jika bertemu dengan sesama Muslim atau ucapan penghormatan yang baik jika bertemu dengan bukan Muslim.Sentiasa bertoleransi samada yang melibatkan urusan keagamaan,adat resam, budaya, cara hidup dan lain-lain lagi.

2. Tidak menyakiti mereka samada melalui perkataan, perbuatan atau sekadar sangkaan buruk.Jiran yang jahat dan tidak berakhlak digambarkan sebagai lembaga hitam yang telah dirasuk syaitan sehingga tergamak melakukan kejahatan dan kedurjanaan sehingga menimbulkan ketakutan dan kegerunan kepada insan lain.

3. Sentiasa menuturkan kata-kata yang baik dan menghormati mereka sebagai manusia

4.  Sentiasa merendahkan diri dan berlemah-lembut dengan mereka dan mengelak diri dari bersikap takbur.  

5.  Sentiasa bersedia memberikan sebarang bentuk bantuan dan pertolongan yang diperlukan

6. Menyayangi mereka seperti mana kita menyayangi diri kita sendiri. Oleh yang demikian kita hendaklah sentiasa berusaha untuk melakukan perkara yang menjadi kesukaan mereka, selagi tidak bertentangan dengan syariat agama dan sama-sama berusaha menghindarkan perkara-perkara yang mereka tidak sukai.  

7.  Sentiasa mengambil berat dan bersimpati terhadap segala permasalahan yang sedang mereka hadapi sama ada yang berkaitan dengan masalah keagamaan, kekeluargaan atau rumah tangga, kejiwaan, kesihatan,pelajaran, , kewangan, makan-minum, dan sebagainya. Sentiasa mempamerkan akhlak yang mulia sesama jiran sehingga akhirnya melahirkan perhubungan kejiranan yang lebih mesra dan lebih akrab.
  
8.  Tidak memandang rendah dan saling menghina sesama jiran, sebaliknya hendaklah sentiasa hormat menghormati dan harga-menghargai,termasuklah menghargai dan berterima kasih terhadap apa jua pemberian,khidmat dan pertolongan yang diberikan.
  
9. Mengutamakan jiran yang terdekat rumahnya dengan rumah kita.Penetapan jiran terdekat ialah 40 buah rumah yang berada di sekeliling rumah kita, sama ada di kiri, kanan, hadapan dan belakang. Terdapat tiga kategori jiran :  
  1. Jiran muslim yang ada hubungan kekeluargaan, mereka mempunyai tiga hak iaitu sebagai jiran, keluarga dan seorang Muslim.
  2. Jiran Muslim yang mempunyai dua hak, iaitu hak jiran dan hak seorang Muslim.
  3. Jiran bukan Islam, yang mempunyai satu hak iaitu hak jiran.
10. Sentiasa berusaha mewujudkan suasana aman, damai, tenteram, sejahtera dan ceria dalam kehidupan berjiran. Faktor inilah juga yang menyebabkan Rasulullah SAW menyatakan bahawa antara rukun-rukun kebahagiaan ialah ‘jiran yang baik’.

11. Sentiasa memelihara diri agar tidak melakukan sebarang kesalahan dan kerosakan serta mencemar maruah dan diri jiran, termasuklah terhadap isterinya,anak-anaknya, harta bendanya dan lain-lain lagi.
  
 12. Elakkan sikap terlalu suka mengambil tahu hal ehwal peribadi dan keluarganya, kecuali setelah mereka sendiri mengadu untuk mendapatkan bantuan kita untuk menyelesaikannya.
  
 13. Bantulah mereka apabila mereka ditimpa kesusahan dan mala petaka,agar hati mereka menjadi tenang dan tenteram.
  
 14. Rasakan kesusahan jiran seperti kesusahan yang kita tanggung sendiri dan zahirkan kegembiraan ketika mereka bergembira, sama ada ketika mendapat rumah baru, perabut baru, kelahiran anak baru, mendapat menantu dan sebagainya.  

 15. Elakkan dari memerhatikan barangan atau apa sahaja yang dibeli atau yang dibawa pulang ke rumahnya.  
16. Tidak cuai untuk menyeru mereka kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran dengan cara yang paling berhikmah

 17. Sentiasa bersabar di atas segala perlakuan buruk yang dilakukan oleh jiran, sebaik-baiknya kita hendaklah sentiasa bersedia untuk memaafkan segala kesalahan dan kesilapan dan tidak membalas segala kejahatan tersebut, sebaliknya membalasnya dengan kebaikan.  

 18. Jangan mudah terpengaruh dengan fitnah atau umpatan orang lain terhadap diri mereka.  

19. Menziarahi mereka ketika mereka sedang sakit.  

 20. Mengurus jenazah mereka setelah mereka meninggal dunia.  

 21. Tidak menghebahkan segala kesalahan, keaiban dan kesilapan jiran.  

 22. Memberikan segala bentuk bantuan yang mereka perlukan.  

 23. Berlemah-lembut dengan anak-anaknya jiran.  

 24. Menjaga keselamatan rumah atau anak-anak mereka, ketika mereka tiada di rumah.  

 25. Mengucapkan tahniah ketika terjadi peristiwa tertentu, terutama ketika mereka memperolehi kebaikan dan kurniaan dari Allah.  

  26. Mengucapkan takziah ketika mereka ditimpa malapetaka dan bencana.  

 27. Tidak membina bangunan yang tinggi sehingga menutup laluan angin ke dalam rumahnya, kecuali setelah mendapat restu dan izin darinya.Jangan menyusahkan mereka, seperti meletakkan sesuatu yang boleh menghalang laluan ke rumah mereka.  

 28. Tidak menyakiti mereka melalui bauan enak dari masakan yang kita masak dari rumah kita. Digalakkan agar kita memberikan sedikit daripada masakan tersebut untuk mereka nikmati.  

 29. Menghadiahkan mereka dengan buah tangan yang kita beli.  

 30. Sentiasa mendoakan keselamatan dan kebahagian jiran  


HIKMAH DALAM BERJIRAN

 1.Kehidupan dipenuh kedamaian dan keharmonian bertambah erat
2.Kehidupan bermasyarakat di berkati Allah
3.Kehidupan lebih berkualiti
4.Terjamin dapat bersatu kearah kemajuan.
5.Sentiasa rasa selesa dan mendapat pembelaan.
6.Kemungkaran dapat dibasmi dengan mudah.

7.Kerja yang berat menjadi ringan
8.Menghakis sifat individualistik dalam diri


IMPLIKASI JIKA TIDAK BERADAP DENGAN JIRAN

 1) Kehidupan tidak tenang.
2) Menjejaskan keharmonian hidup bermasyarakat.
3) Terpinggir daripada masyarakat.
4) Sukar mendapat pertolongan ketika dalam kesusahan.
5) Negara akan menjadi mundur dan kucar-kacir.